Malaysia Dateline

Walaupun GST dikatakan penyelamat kedudukan ekonomi dan kewangan negara, ia menjejaskan sebahagian besar daripada 30 juta penduduk Malaysia.

COVID-19: Impak terhadap psikososial, ekonomi dan beberapa syor ke hadapan

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 (National Health and Morbidity Survey, NHMS 2015), melaporkan prevalens masalah kesihatan mental dalam kalangan dewasa berumur 16 tahun dan ke atas ialah 29.2 peratus, iaitu kira-kira 4.2 juta orang daripada keseluruhan populasi negara. Peningkatan sebanyak 18.5 peratus daripada sebelumnya iaitu 10.7 peratus pada 1996.

Bermakna satu daripada setiap tiga penduduk Malaysia (2015) mengalami isu yang berkait dengan masalah kesihatan mental. Satu fakta yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua kita.

Skop Kesihatan Remaja pula menunjukkan bahawa golongan remaja kita berhadapan dengan tiga gangguan mental yang utama iaitu:

i) Perasaan Cemas sebanyak 39.7%; diikuti dengan
ii) Kemurungan (18.3 %); dan
iii) Tekanan (9.6 %).

Prevalens ini dilaporkan terus menunjukkan trend menaik dengan golongan wanita, orang dewasa muda dan daripada keluarga berpendapatan rendah serta kaum Bumiputera sebagai paling berisiko menghadapi gangguan kesihatan mental.

Menurut Dr. Chua Sook Ning, Pengasas Relate Mental Health Malaysia (Relate), isu kesihatan mental atau “penyakit tidak nampak” ini dalam kalangan pekerja di Malaysia telah menelan kos RM14.4 bilion atau 1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2018.

Data-data yang dinyatakan itu adalah realiti dalam keadaan biasa sebelum ini. Kini, dunia berhadapan dengan cabaran baharu yang telah menjejaskan sekaligus mengubah kehidupan normal manusia hampir di seluruh dunia iaitu cabaran pandemik Covid-19.

Pandemik COVID-19

COVID-19 adalah pandemik global yang telah diisytiharkan oleh World Health Organization (WHO) pada 11 Mac 2020. Ia adalah satu ancaman baharu bagi penduduk dunia, bukan hanya kerana risiko terhadap kehidupan manusia dan kesusahan ekonomi yang timbul, tetapi juga terhadap tekanan emosi yang tidak dapat dilihat.

Pengalaman Lepas Sebagai Pedoman

Berikutan krisis kewangan global pada 2007–2008 misalnya, banyak negara menyaksikan kadar kemurungan, kegelisahan, penggunaan alkohol dan dadah meningkat lebih tinggi.

Pada tahun 2008, kemelesetan ekonomi dunia telah mengakibatkan peningkatan kes bunuh diri sebanyak 13 peratus di seluruh dunia yang berpunca daripada pengangguran dan ketidaksamaan pendapatan dengan lebih 46,000 nyawa hilang pada tahun itu sahaja.

Impak psikososial dan ekonomi pandemik COVID-19

Selain daripada kesan negatif kemerosotan ekonomi dunia, pandemik Covid-19 juga memberikan cabaran seperti ketakutan terhadap ancaman virus itu sendiri, kesedihan, kemurungan, jarak fizikal yang berpanjangan dan pengasingan sosial yang akan memberi kesan ke atas jiwa kolektif .

Kehidupan Dan Mata Pencarian

Seperti yang dinyatakan oleh Institut Global McKinsey dalam Melindungi Kehidupan dan Mata Pencarian ; “Laporan harian mengenai peningkatan jangkitan dan kematian di seluruh dunia meningkatkan kegelisahan kita, dan membuat kita bersedih. Terdapat ketidakpastian mengenai hari esok; mengenai kesihatan dan keselamatan keluarga, rakan dan orang-orang tersayang; dan mengenai kemampuan kita menjalani kehidupan yang kita sayangi.”

Gangguan kesihatan mental bukan sahaja berpunca daripada kesulitan ekonomi, tetapi juga menjadi penyebab kepada produktiviti yang lebih rendah, peningkatan kos penjagaan kesihatan, dan kematian yang lebih tinggi.

Produktiviti Terjejas Dan Peningkatan Kos Ekonomi Global

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa kemurungan dan kegelisahan mempunyai anggaran kos ekonomi global sebanyak USD$ 1 trilion per tahun jika diukur daripada sudut kehilangan produktiviti. Penurunan produktivi seperti ini akan sekaligus membawa kesan peningkatan terhadap kos ekonomi terutama disebabkan oleh kesan awal masalah kesihatan mental, dengan anggaran 12 bilion hari bekerja hilang disebabkan masalah penyakit mental pada setiap tahun.

Kehilangan Hari Bekerja

Pada tahun 1997, sebuah kajian Harvard Medical School menganggarkan bahawa Amerika Syarikat kehilangan lebih daripada 4 juta hari bekerja dan mengalami 20 juta hari pengurangan kerja dan prestasi kerja yang terganggu kerana gangguan kesihatan mental.

Dalam kes pandemik Covid-19 dan beberapa langkah sekatan yang telah berlaku, kita boleh membayangkan berapa banyak kehilangan hari bekerja telah berlaku di kalangan gunatenaga dalam negara kita. Ini tentunya memerlukan satu kajian yang lebih terperinci.

Kos Perubatan Meningkat

Untuk lebih memahami kesan kesihatan mental dan impaknya terhadap kos hidup, McKinsey melakukan analisis data tuntutan insurans nasional dan mendapati bahawa 60 peratus perbelanjaan perubatan keseluruhan didorong oleh 23 peratus anggota yang mengalami gangguan kesihatan mental.

Perbelanjaan yang tidak seimbang ini banyak didorong oleh kenaikan kos perubatan. Sebagai contoh, kos untuk merawat pesakit diabetes dengan kemurungan, rata-rata hampir USD$ 20,000 lebih tinggi berbanding pesakit diabetes tanpa kemurungan, kerana faktor-faktor seperti komplikasi perubatan, pengurangan akses untuk rawatan pencegahan, dan cabaran dengan pengurusan diri pesakit itu sendiri.

3-4% KNK Negara-Negara Maju Digunakan Untuk Menangani Masalah Kesihatan Mental

Pada tahun 2001, WHO menganggarkan bahawa negara-negara maju terpaksa menanggung kos antara 3-4% dari KNK mereka (Keluaran Nasional Kasar) untuk menangani masalah kesihatan mental .

USD$16 Trilion Menjelang Tahun 2030

Laporan Suruhanjaya Lancet 2018 Mengenai Kesihatan Mental pula telah menyatakan bahawa gangguan mental meningkat di setiap negara di dunia dan akan menelan belanja ekonomi global yang dianggarkan USD$16 trilion menjelang tahun 2030. Membuktikan betapa isu kesihatan mental ini bukanlah sebatas isu seseorang individu bermasalah mental sahaja, tetapi akan menjadi ancaman dan tanggungan negara yang sangat besar jika gagal diberikan perhatian serius.

Sekatan Pergerakan Mencetuskan Tekanan, Keresahan Dan Kemurungan

Susulan pandemik Covid-19 yang merebak jauh lebih cepat dan luas, banyak negara telah mengambil langkah pencegahan yang lebih ketat seperti mengisytiharkan darurat, perintah berkurung dan perintah kawalan pergerakan termasuklah Malaysia.

Seperti yang saya sebutkan pada awal penulisan ini bahawa keterbatasan akibat kewujudan pelbagai sekatan telah mencetuskan suasana yang mendorong kepada tekanan, keresahan dan kemurungan di kalangan masyarakat dalam negara ini secara lebih meluas, merentasi kumpulan yang berisiko dalam keadaan biasa.

Keganasan Rumah Tangga, Penderaan Fizikal, Mental, Emosi dan Seksual serta Eksploitasi dan Pengabaian

Berdasarkan Laporan Talian Kasih yang diterbitkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rekod kes bagi tempoh 18 hingga 31 Mac 2020 iaitu sepanjang PKP Fasa I dikuatkuasakan, mencatatkan 336 aduan mengenai penderaan fizikal, mental, emosi dan seksual serta eksploitasi dan pengabaian melibatkan kategori kanak-kanak, keganasan rumah tangga, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas; serta bagi mendapatkan khidmat kaunseling iaitu mewakili 47.3 peratus daripada 710 aduan setelah ditolak dengan aduan mengenai permohonan bantuan kebajikan dan pertanyaan daripada 1,535 aduan berkaitan.

Tekanan Emosi Berpotensi Melemahkan Sistem Imunisasi Dan Keupayaan Tubuh Melawan Jangkitan

Jika masyarakat atau kerajaan gagal menguruskan keadaan tekanan emosi dan mental ini, ia juga akan melemahkan sistem imunisasi dan mengganggu keupayaan tubuh individu untuk mengatasi jangkitan dan penyakit. Sekaligus memungkinkan usaha membendung penularan wabak ini pada peringkat mikro juga mungkin akan sedikit terjejas.

Peningkatan Dalam Penyalahgunaan Dadah, HIV Dan Risiko Kematian Kanak-Kanak

Gangguan terhadap kesihatan mental rakyat juga akan membawa kepada peningkatan dalam penyalahgunaan dadah. Menurut Laporan WHO 2020, sekitar 13 juta orang menyuntik dadah di seluruh dunia, dan 1.7 juta daripadanya hidup dengan HIV, sekaligus menjadi faktor peningkatan risiko kematian kanak-kanak akibat kemurungan ibu bapa.

WHO Syor Langkah Pencegahan Dan Intervensi

Justeru itulah, WHO telah mengesyorkan agar negara-negara membangun dan maju menerapkan program kesihatan mental seperti pencegahan dan intervensi yang lebih komprehensif bagi mengurangkan kesan negatif penyakit/ kesihatan mental pada pesakit dan masyarakat tempatan serta global mereka. Malaysia tidak terkecuali daripada keperluan mengambil perhatian serius terhadap isu ini.

Beberapa syor ke hadapan

1. Memperuntukkan Dana Khas

Dana Khas ini diperlukan termasuklah untuk :
▪︎ Menggerakkan penyelidikan khusus ke seluruh negara darihal kesan pandemik Covid-19 terhadap kesihatan mental rakyat Malaysia;
▪︎ Menambah jumlah perjawatan untuk diisi oleh profesional-profesional kesihatan mental dalam sektor kerajaan termasuklah mengoptimumkan peranan Kaunselor Berdaftar dengan LKM;
▪︎ Pemberian Insentif Khas kepada sektor swasta yang menyediakan perkhidmatan profesional kesihatan mental kepada para pekerjanya;
▪︎ Membantu agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti LPPKN agar dapat terus memperhebatkan kegiatan dan usaha memberi perkhidmatan kesihatan mental terbaik kepada penduduk Malaysia;
▪︎ Pemberian Insentif Khas kepada Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) untuk menggerakkan pelbagai program dan aktiviti kaunseling kesihatan mental ke seluruh negara;
▪︎ Kajian keperluan mewujudkan RUU Perkhidmatan Psikologi; dan
▪︎ Penubuhan Psychological Care Centre (PCC) di seluruh negara.

2. Menambah Profesional Kesihatan Mental

Pakar Psikiatri, Pegawai Psikologi Klinikal dan Kaunselor adalah merupakan profesional kesihatan mental yang utama dan terlibat dalam isu kesejahteraan mental di negara ini.

Walau bagaimanapun, jumlah mereka masih sangat kurang jika dibandingkan keperluan semasa yang semakin mendesak. Pakar Psikiatri yang berkhidmat di hospital KKM misalnya hanya berjumlah 245 orang sahaja pada 2018. Manakala rekod terdahulu juga menunjukkan hanya sejumlah 360 orang Pakar Psikiatri di seluruh negara sama ada di sektor awam, swasta serta universiti sehingga tahun 2016.

Rekod Jabatan Perkhidmatan Awam pula menunjukkan hanya 33 orang Pegawai Psikologi Klinikal yang berkhidmat di sektor awam seluruh negara pada tahun 2019.

Manakala bilangan Pegawai Psikologi yang berkhidmat di KKM juga adalah sangat sedikit jika dinisbahkan dengan jumlah penduduk iaitu seramai 184 orang (2018).

Lebih membimbangkan, ketika ini direkodkan hanya seramai 182 orang Pegawai Psikologi dan Penolong Pegawai Psikologi yang berkhidmat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), satu angka yang terlalu kecil bagi menampung keperluan rakyat Malaysia yang kini berjumlah kurang lebih 32.7 juta orang, dan dengan ancaman terhadap kesihatan mental yang semakin meluas akibat pandemik Covid-19.

Jumlah Kaunselor Berdaftar di bawah LKM sehingga Disember 2019 pula adalah seramai 8,926 orang menjadikan nisbah kaunselor kepada penduduk 32.7 juta ketika ini adalah pada kadar 1:4,030. Sekali lagi ia adalah suatu jurang yang terlalu besar.

Sewajarnya, profesional-profesional kesihatan mental ini ditambah supaya sepadan dengan jumlah penduduk dari semasa ke semasa. Sekaligus berkesan untuk menangani pelbagai isu kesihatan mental terutamanya ketika negara sedang dilanda musibah seperti sekarang. WHO melaporkan bahawa penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua paling berbahaya di dunia. Di Malaysia pula, penyakit mental merupakan penyakit kedua paling mengancam rakyat menjelang tahun 2020, selepas penyakit jantung.

Paling penting ke hadapan adalah memberi perhatian serius kepada penerusan usaha bagi melahirkan 11,000 kaunselor profesional menjelang 2020 (Nisbah 1 : 2,945) seperti yang disasarkan oleh mantan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Oktober 2018). Ia perlu diberikan keutamaan dan fokus oleh Kerajaan hari ini bagi memastikan profesional kesihatan mental ini mencukupi untuk mendepani masalah sosial yang semakin rumit pada masa hadapan.

3. Tambah Jumlah Perjawatan Bagi Mengoptimumkan Peranan Kaunselor Berdaftar

Sejumlah hampir 8,926 orang Kaunselor Berdaftar ketika ini perlu dioptimumkan penglibatan mereka dengan kerajaan menambahkan jumlah perjawatan berkaitan dalam pasaran pekerjaan sama ada di sektor awam mahupun swasta. Ini termasuklah menjadikan mereka sebagai Kaunselor Panel di sektor-sektor dan agensi kerajaan. Di samping usaha meluaskan perkhidmatan mereka ke sektor-sektor swasta khususnya bagi bidang pekerjaan yang kritikal dengan peratusan kadar stres yang tinggi seperti sektor kewangan, pembangunan, kesihatan, keselamatan dan korporat selain sektor pendidikan.

Wujudkan platform rasmi dan fleksibel untuk mereka berbakti sesuai dengan kerjaya semasa mereka.

4. Perluas Penubuhan Pusat Penjagaan Psikologi (PCC)

Idea bagi menawarkan perkhidmatan kaunseling “hingga ke pintu rumah” secara percuma yang direalisasikan menerusi penubuhan Pusat Penjagaan Psikologi atau Psychological Care Centre (PCC) patut diperluaskan terutamanya di negeri-negeri lain yang mempunyai prevalens masalah kesihatan mental yang tinggi seperti di Sabah dan Labuan, Kelantan, Sarawak serta Selangor dan bukan hanya di Kuala Lumpur sahaja.

Pusat ini sangat penting bagi menangani impak psikososial dari semasa ke semasa supaya tidak melarat kepada masalah-masalah yang lain.

5. Manfaatkan Sukarelawan Lay Kaunselor

Terdapat kurang lebih 5,500 sukarelawan yang telah dilahirkan menerusi Program Lay Kaunselor yang mula dilaksanakan KPWKM sejak 2015. Sasaran untuk dicapai pada tahun 2019 adalah sejumlah 10,000 orang. Kumpulan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya membantu keperluan semasa negara, sebagai contoh dengan menyerap mereka menjadi sukarelawan Sahabat Psychological Support Team (sPST) atau ke mana-mana platform lain yang sesuai.

Pangkalan data yang kemaskini dan diintegrasikan dengan sistem atau program sokongan yang lain perlu segera dibangunkan bagi mengelakkan kewujudan Lay Kaunselor di negara ini sia-sia. Program-program lanjutan yang bersesuaian bagi meningkatkan pengetahuan dan kompetensi sukaralewan ini secara berterusan juga perlu segera disusun bagi memastikan mereka dapat dikategorikan sebagai sukarelawan berkemahiran tinggi.

Ia seterusnya boleh diselarikan kelak dengan pelbagai keperluan yang seiring hadir dengan ‘Akta Perkhidmatan Psikologi’ pada masa hadapan.

6. Meningkatkan Kesedaran Awam Tentang Penjagaan Kesihatan Mental

Pasca COVID-19 perlu diuruskan dengan sebaiknya bagi memastikan ia tidak mengganggu fungsi harian setiap individu rakyat Malaysia.

Satu kajian yang telah dibuat di Korea sepertimana yang dilaporkan dalam International Journal of Healthcare pada 2018, menyebut hampir separuh petugas kesihatan iaitu jururawat yang terlibat dalam mengendalikan wabak Mers-CoV pada tahun 2015 mengalami gangguan tekanan pasca trauma atau dikenali sebagai Post-Traumatic Stress Disorder (PSTD).

Pendidikan berkenaan kesihatan mental perlu diberikan kepada seluruh masyarakat menerusi pelbagai medium sepanjang masa. Ia perlu menyasarkan semua kelompok yang berisiko seperti mangsa, ahli keluarga dan saudara-mara terdekat mangsa serta para petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dengan pandemik Covid-19 dan merupakan kelompok paling terkesan , agar gejala seperti PSTD ini dapat dibendung sekaligus dielakkan.

7. Pemeriksaan Status Kesihatan Mental Yang Menyeluruh Di Kalangan Rakyat

Menjadi satu kewajaran kepada Malaysia untuk melaksanakan pemeriksaan dan rawatan menyeluruh untuk kesihatan mental termasuk ke atas kelompok dengan atau berisiko tinggi untuk Covid-19.

Usaha melindungi dan mencapai keseimbangan antara kesihatan dan keselamatan nyawa dengan kelangsungan ekonomi keluarga dan negara daripada ancaman pandemik Covid-19 adalah satu cabaran besar yang sukar untuk dilaksanakan. Namun, kehilangan keseimbangan itu jika berlaku akan bererti kehilangan nyawa dan kehilangan sumber rezeki mata pencarian bagi menampung kehidupan. Justeru, langkah sekatan bersyarat sepertimana PKPB adalah bagi membolehkan ekonomi dan rantaian bekalan berterusan tanpa gangguan, tetapi pada masa yang sama sekatan terpaksa dikenakan ke atas sektor sosial dan pendidikan untuk satu-satu tempoh tertentu.

Stigma buruk dan paranoid berkaitan pesakit Covid-19 akan hanya memburukkan lagi keadaan, justeru ia perlu disantuni. Kehidupan norma baharu ini memerlukan kefahaman dan disiplin yang tinggi di kalangan seluruh rakyat. Kesabaran dan kesediaan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa ini penting bagi memastikan kelangsungan dan kemakmuran hidup, sehinggalah vaksin bagi pandemik ini ditemukan.

Sesungguhnya, kepada AlLah jua bertumpu segala do’a, usaha dan tawakkal kita.