Malaysia Dateline

Covid-19: ‘Jangan ada kluster Langkawi’

Orang ramai menyuarakan kebimbangan kemungkinan munculnya jangkitan Covid-19 baharu ekoran kebenaran aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Rata-rata warganet menasihatkan agar semua pihak tidak terlalu bergembira susulan sektor perhotelan di Langkawi yang dilapor menerima 1,000 tempahan daripada pelancong domestik hanya dalam tempoh sejam.

“Jangan pula selepas ini ada kluster Langkawi,” kata pengguna Facebook, Ahmad Khushaimi Taharin.

Pendapat sama disuarakan Narmmatha Devantharan, “Kluster Langkawi coming up soon!”.

Astro Awani melaporkan semua hotel di Langkawi telah menerima 1,000 tempahan daripada semua pelancong domestik hanya dalam tempoh sejam sehingga 4:45 petang tadi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kebenaran aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berkuat kuasa, 10 Jun ini.

Sementara itu, Mohammad Rafiee Abdullah mengingatkan risiko penularan kembali Covid-19 seperti telah berlaku di wilayah Hubei yang sebelum ini menjadi pusat penularan wabak itu di China sejurus diberi kebenaran untuk penduduknya melancong akhir Mac lalu.

“Samalah macam di China hari itu bila habis PKP saja penuh pusat pelancongan,” ujarnya.

Untuk rekod, sejak awal April lalu, China mencatatkan peningkatan kes tanpa gejala dengan jumlah sebanyak 705 orang setakat 6 April lalu.

Sehubungan itu, Dalila Isa menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu berseronok sebaliknya bersabar seketika memandangkan virus berbahaya itu masih berkeliaran di luar sana.

“Beraninya hampa (anda semua). Apa pun jaga diri. Ikut SOP (prosedur operasi standard). Jangan terlampau bergembira,” kata Fara Suhada dengan tagar #sayamasihtakberani.

‘Untunglah berduit’

Terdapat juga warganet yang mengimbas kembali detik-detik getir yang dialami banyak pihak ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei lalu.

“Untunglah berduit sampai ada lebihan untuk dibelanjakan. Ada yang terkais-kais lagi nak mulakan hidup. Ada yang hilang pekerjaan, hilang ahli keluarga. Begitulah,” kata Diana Ruslan.

Ada juga yang mengingatkan tentang tiadanya vaksin untuk merawat Covid-19 bahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menjangkakan seluruh dunia terpaksa memerangi pandemik maut itu sehingga tahun depan.

“Hebat rakyat Malaysia. Vaksin Covid-19 tiada lagi,” kata Amiza Miza.

Malah, tidak kurang juga yang secara sinis menggesa orang ramai memanfaatkan kelonggaran diberikan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Jangan jadi monyet keluar hutan. Tolong peka dan berhati-hati. Ingat kita masih dalam proses pemulihan dan Covi-19 ini bukannya telah luput ya,” tegas Syakir Ahmad.