Malaysia Dateline

Mazlan Aliman. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh

Covid-19: Jangan sekadar simpati, berusaha bantu pasarkan produk petani

Bekas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Alimen menyeru semua AJP PPN dan PPK lantikan Menteri serta Pegawai Pembangunan Peladang (Nafas) supaya bersama berusaha memasarkan produk petani terutama sewaktu krisis Covid-19 yang dihadapi sekarang.

Kata beliau, antara ujian yang amat besar ketika Covid 19 ialah bagaimana memasarkan hasil pertanian dan ternakan dari para petani.

“Sama ada kita menerima aduan, membaca/menonton berita atau ianya diviralkan di media sosial, dakwaan lambakan hasil pertanian dan terjejasnya pendapatan para usahawan tentunya menyedihkan.

“Simpati sahaja tidak mencukupi.

“Kita boleh membantu dengan menyalurkan isu dan aduan kepada pihak Lembaga Pertubuhan Peladang di HQ, negeri (LPP) dan PPK di kawasan kita,” kata beliau melalui hantaran di Facebooknya semalam.

Menurut Mazlam, mereka juga boleh berperanan melalui networking (rangkaian) masing-masing untuk membantu petani dan usahawan yang terkesan.

“Kita mampu berada di barisan hadapan dalam situasi kritikal ini, membantu para petani kita; melalui berbagai cara dan inisiatif.

“Inovasi melalui Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian, tempahan dalam talian/wassap dan promosi menarik; adalah alternatif waktu ini dan masa hadapan,” katanya lagi.

Beliau berharap semoga segala usaha yang dijalankan dipermudahkan oleh Allah.

Laporan terbaru Jabatan Perangkaan berkaitan kesan wabak Covid-19 ke atas sektor pekerjaan negara ini, khususnya pertanian dan perikanan amat membimbangkan.

Malah hampir 22 peratus responden dari sektor pertanian telah kehilangan pekerjaan dan perkara ini lebih serius dalam subsektor perikanan dimana 33 peratus individu telah kehilangan punca pendapatan.