Malaysia Dateline

Covid-19: Jangkitan dalam komuniti di Kelantan sangat tinggi

Sebanyak 23 peratus kes Covid-19 dikesan tidak membabitkan kontak rapat sekali gus menunjukkan jangkitan dalam komuniti sangat tinggi.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata, lebih membimbangkan lagi penggunaan katil hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) juga semakin melonjak.

Setakat semalam, negeri Pas itu mencatatkan kadar kebolehjangkitan (RT) harian tertinggi di negara ini iaitu 1.32 berbanding RT nasional 1.19.

Lonjakan mendadak kes Covid-19 di negeri itu turut menyaksikan tujuh daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula kelmarin sehingga 29 April ini.

Katanya, sehingga kini masih terdapat 2,627 sampel yang belum mendapat keputusan ujian Covid-19.

“Langkah penutupan sekolah dalam kawasan PKP juga terpaksa dilaksanakan berikutan 30 peratus jangkitan adalah dalam kalangan warga sekolah.

“Justeru, beberapa langkah akan diambil bagi mengatasi penularan di tempat kerja, sekolah, masjid dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Kelantan mencatatkan sebanyak 225 kes Covid-19 baharu menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 8,116 kes.

Dalam masa sama, terdapat 1,433 kes dalam rawatan termasuk 20 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kelantan turut menyaksikan 28 kluster aktif dengan Kluster Jalan Kota Kubang Labu mencatatkan pertambahan kes baharu terbanyak iaitu 32 kes semalam.