Malaysia Dateline

Covid-19: Jasa pasukan peninjau besar, kata Saifuddin

Kerajaan Malaysia berbangga dengan komitmen pasukan peninjau dari Beijing ke Wuhan dalam misi mengumpul dan menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap di bandar, yang bermulanya penularan wabak coronavirus baharu (COVID-19).

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pasukan yang dianggotai enam individu itu layak digelar wira dan wirawati negara kerana sanggup mempertaruhkan nyawa bagi memastikan segala urusan berkaitan rakyat berjalan lancar.

Katanya, jasa dan pengorbanan pasukan peninjau terbabit amat besar ketika semua orang keluar dari Wuhan tetapi mereka masuk untuk menyelamat dan menguruskan hal berkaitan rakyat Malaysia.

“Mereka adalah wira dan wirawati negara yang sebenar kerana mereka bertolak dari Beijing ke Wuhan melalui jalan darat yang mengambil masa 17 jam.

“Sebaik tiba di Wuhan, mereka menguruskan segalanya untuk memastikan rakyat negara ini selamat pulang ke Malaysia,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan dan tahap kesihatan pasukan peninjau sebaik selamat tiba di negara ini, baru-baru ini.

Saifuddin ditemui selepas Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Program Jom Ke Sekolah peringkat Kuantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom,Kuantan, seperti dipetik laporan Berita Harian hari ini.

Yang turut hadir, Pengawai Pendidikan Daerah Kuantan, Miftah Surif, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin dan Pengetua SMK Sultanah Hajjah Kalsom, Mahadzir Hanapiah.

Ditanya tahap kesihatan pasukan peninjau berkenaan setakat ini, beliau difahamkan enam individu itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang jangkitan yang dialami.

Bagaimanapun, katanya, pengumuman rasmi berhubung tahap kesihatan pasukan peninjau itu akan dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya difahamkan mereka masih dikuarantin selama 14 hari sebaik tiba di negara ini dan dijangka KKM membuat pengumuman berhubung keadaan kesihatan mereka dalam beberapa hari lagi.

“Kita doakan semoga mereka berada dalam kesihatan yang baik sebaik tempoh kuarantin berakhir,” katanya.

Enam ahli pasukan peninjau layak digelar wira itu terdiri daripada Menteri Penasihat Kedutaan yang juga Ketua Delegasi Samsul Kahar Kamarudin dibantu Nik Mazaid Nik Man (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), Ibrahim Jack (Jabatan Imigresen Malaysia), Nur Zaitie Suhana Zakaria (Setiausaha Pertama), Jason Choy Min Sheng (Setiausaha Pertama Pendidikan) dan Mohd Syahmi Md Yusoff (Polis Diraja Malaysia).

Kecekapan dan komitmen jitu keenam-enam ahli pasukan peninjau yang dipilih sendiri Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin bagi melaksanakan misi getir yang jelas merisikokan diri sendiri kepada jangkitan yang boleh membawa kematian itu bagaimanapun dilaksanakan dengan jayanya.

Berkongsi cabaran itu, Samsul Kahar berkata, dia dan lima lagi ahli pasukannya yang dipilih sendiri Nushirwan mengakui perasaan bercampur baur antara bimbang dan tanggungjawab kepada negara kerana tidak mengetahui secara jelas situasi sebenar di Wuhan.

Katanya, di sebalik kebimbangan itu, pasukan peninjau tetap bersemangat untuk menggalas tanggungjawab demi keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Wuhan dan China secara

keseluruhannya.

“Kami anggap mereka (rakyat Malaysia) seperti saudara sendiri walaupun wujud kebimbangan dalam diri untuk berdepan dengan ‘musuh’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” kata Samsul Kahar.