Malaysia Dateline

Covid-19: Jelajah Harapan dihentikan, kempen AMANAH melalui media sosial

Ekoran daripada penularan wabak Covid-19, Parti Amanah Negara (AMANAH) mengambil inisiatif menggunakan media sosial sebagai platform bagi meneruskan program Jelajah Harapan.

Menurut sumber daripada AMANAH, semua penerangan berkaitan isu semasa akan dibuat melalui sosial media termasuk Facebook (FB) Live dan YouTube Live.

“Kita akan jadikan saluran TV internet termasuk Jom Channel sebagai saluran komunikasi kita selepas ini,” kata sumber AMANAH kepada Malaysia Dateline hari ini.

Sumber itu menambah, siri Jelajah Harapan di Parit Buntar yang dijadualkan berlangsung malam ini, juga ditangguhkan.

“Siri Jelajah Harapan di Terengganu malam tadi, adalah yang terakhir berikutan penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Untuk rekod, Jelajah Harapan siri pertama telah diadakan di Tapak Rakan Muda, Taman Sri Andalas, Klang pada 7 Mac lalu.

Turut hadir pada siri pertama itu adalah, Presiden AMANAH yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu; Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.