Malaysia Dateline

Covid-19: Jentera, pengundi DUN Tanjung Batu antara kontak rapat Shahril

Shahril bersama warga emas DUN Tanjung Batu yang tidak memakai pelitup muka.

Calon BN dan warga emas di DUN Tanjung Batu antara individu yang ditemui Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan sepanjang berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Wanita warga emas itu pula dalam hantaran di Facebook Shahril pada 15 September lalu dilihat tidak mengenakan pelitup muka.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda Umno itu menyertai jentera pilihan raya BN berkempen bersama calon N71 Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy.

“Bersama sahabat exco PPUM Andi Muhammad Suryady bin Hj Bandy yang menjadi calon #1 di DUN Tanjung Batu.

“Pertandingan enam penjuru sengit tetapi berbekalkan semangat dan kebolehan anak muda Kalabakan ini insya Allah kemenangan berpihak ke Barisan Nasional,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Shahril turut dilihat berucap dalam ceramah kelompok di hadapan kira-kira 20 penduduk kampung.

Kempen PRN Sabah berlangsung ketika kes positif Covid-19 sedang melonjak.

Beliau juga bergambar dengan lebih 10 wanita muda dengan sebahagiannya tidak mengenakan pelitup muka.

Rata-rata mereka juga dilihat gagal mematuhi penjarakan sosial serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pagi tadi, Shahril mengesahkan dirinya positif Covid-19 selepas membuat ujian saringan di Kuala Lumpur.

Menerusi Twitternya, dia memberitahu tidak mempunyai gejala yang ketara melainkan sedikit penat.

“Buat keputusan untuk mengambil ujian semalam di Kuala Lumpur sebagai langkah berjaga-jaga selepas kes melonjak naik kerana saya berkempen di Sabah.

“Baharu sahaja menerima panggilan dan akan menerima rawatan hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, Shahril memohon maaf kerana akan menimbulkan kesan kepada mana-mana pihak yang mempunyai kontak rapat dengannya.

Kelmarin, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii yang dilapor berkempen di Sipitang telah disahkan positif Covid-19.

Dia pada masa ini sedang dirawat di Hospital Kota Kinabalu.

Selepas Ahli Majlis Tertinggi Mohd Razlan Rafii, Shahril pula dijangkiti Covid-19.