Malaysia Dateline

COVID-19: Jumlah pesakit discaj tiga kali ganda kes baharu

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 135 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,702 kes (73.15 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ini bermakna, jumlah kes yang didiscaj pada hari ini adalah tiga kali ganda kes baharu disahkan COVID-19.

Sehingga 6 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 45 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,428 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,619 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Daripada 45 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes import dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 44 kes, di mana sebanyak satu kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di
bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sehingga kini, seramai 22 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 9 kes memerlukan bantuan pernafasan

Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 107 kes (1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)

Kes kematian ke-107 (kes ke-2380) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 51 tahun dan mempunyai
latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 5 Mei 2020 jam 2.53 petang.