Malaysia Dateline

Covid-19: Jumlah pesakit pulih hampir dua kali ganda kes jangkitan baharu

Jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan wabak Covid-19 hari ini, adalah hampir dua kali ganda melebihi rekod bilangan kes jangkitan baharu.

Perkembangan positif itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat 99 kes telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, sekali gus menjadikan pesakit yang pulih sepenuhnya daripada wabak tersebut sehingga kini adalah 3,762 orang atau 65.5 peratus iaitu daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 51 kes baharu telah dilaporkan. Angka tersebut menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 5,742 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,882 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai 36 kes (positif Covid-19) sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 16 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.