Malaysia Dateline

COVID-19: Jumlah pesakit pulih hampir dua kali ganda mengatasi kes jangkitan baharu

Jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan wabak Covid-19 hari ini adalah hampir dua kali ganda melebihi rekod bilangan kes jangkitan baharu.

Perkembangan positif itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat 169 kes telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, sekali gus menjadikan pesakit yang pulih sepenuhnya daripada wabak tersebut sehingga kini adalah 2,647 orang atau 52.2 peratus iaitu daripada jumlah keseluruhan kes.

Secara perbandingan angka itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 85 kes baharu telah dilaporkan.

Katanya, angka tersebut menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 5,072 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,342 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai 56 kes (positif Covid-19) sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.