Malaysia Dateline

Covid-19: Jumlah pesakit pulih mengatasi kes jangkitan baharu

Jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan wabak Covid-19 hari ini telah melebihi rekod bilangan kes jangkitan baharu.

Perkembangan positif itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat 202 kes telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, sekali gus menjadikan pesakit yang pulih sepenuhnya daripada wabak tersebut sehingga kini adalah 2,478 orang atau 49.7 peratus iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes.

Secara perbandingan angka itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 170 kes baharu telah dilaporkan.

Katanya, angka tersebut menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 4,987 kes.

“Ini bermakna, bilangan kes yang dibenarkan pulang adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

“Sehingga kini, seramai 60 kes (positif Covid-19) sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 33 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.