Malaysia Dateline

Covid-19: Jumlah pesakit pulih mengatasi kes jangkitan baharu

Jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan wabak Covid-19 hari ini telah melebihi rekod bilangan kes jangkitan baharu.

Perkembangan positif itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat 166 kes telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, sekali gus menjadikan pesakit yang pulih daripada wabak tersebut sehingga kini adalah 1,487 orang atau 36.1 peratus.

Secara perbandingan kepada angka yang pulih itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 156 kes baharu telah dilaporkan.

Katanya, angka tersebut menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 4,119 kes.

“Ini bermakna, bilangan kes yang dibenarkan pulang hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

“Sehingga kini, seramai 76 kes (positif Covid-19 ) sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan juga terdapat pertambahan dua lagi kes kematian. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian wabak ini adalah sebanyak 65 kes,” ujarnya lagi.