Malaysia Dateline

COVID-19: Kawalan ketat di Hospital Bintulu, Sibu dan Kapit

Berikutan peningkatan kes COVID-19, Hopital Bintulu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan kawalan ketat di kawasan hospital.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pihak Hospital mengambil langkah-langkah kawalan tersebut bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pesakit, pelawat dan warga Hospital Bintulu.

Kata kenyataan itu, antara langkah yang diambil adalah dengan mengurangkan bilangan pelawat dengan menghadkan kepada dua orang pelawat bagi setiap pesakit dalam satu satu masa.

“Masa lawatan akan dipendekkan iaitu lawatan hanya boleh dibuat pada jam 1 petang hingga 2 petang dan pada jam 5 petang hingga 7 petang setiap hari termasuk cuti umum.

“Bagi kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah adalah tidak dibenarkan untuk melawat pesakit di wad,” jelasnya.

Kenyataan itu menegaskan, bagi pelawat yang mempunyai gejala influenza seperti sakit tekak, batuk, selsema, demam, muntah dan cirit-birit juga tidak dibenarkan berada di wad.

“Kepada pelawat yang berisiko tinggi mendapat jangkitan seperti penghidap penyakit kronik dan individu dengan imuniti rendah (contoh pesakit dalam rawatan barah) tidak dibenarkan melawat hospital kecuali atas sebab kecemasan yang tidak dapat dielakkan,”jelasnya.

Arahan yang dikeluarkan berkuat kuasa dengan serta-merta dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, di Sibu
tempoh waktu melawat di Hospital Sibu dan Hospital Kapit dipendekkan berkuat kuasa serta-merta.

Kedua-dua hospital tersebut mengeluarkan notis bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 terhadap pesakit, pelawat dan kakitangan hospital.

Satu notis bertarikh 15 Mac dikeluarkan oleh Pengarah Hospital Sibu Dr Ngian Hie Ung yang hanya membenarkan seorang pelawat untuk melawat setiap pesakit pada suatu masa.

Masa lawatan juga dipendekkan dari jam 1 tengah hari hingga 2 petang, dan dari jam 5 petang hingga 7 malam, dan kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan melawat pesakit di wad.

Selain itu, Hospital Sibu juga melarang mereka yang mengalami gejala influenza seperti sakit tekak, batuk, selesema, demam, muntah dan cirit-birit berada di wad.

“Mereka yang menghidap penyakit kronik dan individu dengan imuniti rendah juga tidak dibenarkan melawat hospital kecuali sebab-sebab kecemasan yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Sebagai rekod, Hospital Sibu merupakan salah satu dari empat hospital di negeri ini yang dibenarkan untuk merawat pesakit COVID-19 di Sarawak.

Manakala di Kapit, Pengarahnya Dr Ivan Vun turut mengeluarkan notis yang sama hari ini.

Mereka juga turut melarang pelawat yang pernah mengunjungi luar negara dalam tempoh 14 hari yang lalu melawat pesakit di wad.

Notis itu turut meminta semua pelawat dan orang ramai yang datang melawat melakukan saringan pemeriksaan kesihatan di pintu masuk.