Malaysia Dateline

Covid-19: Ke mana menghilang 2,897 pengembara?

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu terdapat 2,897 orang pengembara belum tampil ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Jelasnya, mereka sepatutnya berbuat demikian pada hari ke-14 menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk menanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD.

Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, seramai 17,897 orang pengembara setakat kelmarin telah mendapat pelepasan tersebut.

Sehubungan itu, tegasnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di peringkat Ibu Pejabat, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit.

Beliau berkata, mereka perlu tampil ke PKD dengan keputusan ujian Covid-19 yang perlu dijalankan pada hari ke-13.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan pengembara yang pulang dari luar negara sebelum 24 Julai mesti mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Sementara itu, jelasnya, warganegara asing yang masuk ke negara ini sama ada ekspatriat, pasangan dan tanggungan rakyat Malaysia perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan bermula kelmarin.

Beliau turut menggariskan syarat yang telah ditetapkan kepada pengembara yang telah pulang ke Malaysia agar mematuhi sepenuhnya syarat berikut:

* Duduk di rumah untuk menjalani kuarantin di rumah sepenuhnya dan elak bercampur gaul dengan ahli keluarga atau rakan serumah;

* Sekiranya penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurangkurangnya 1 meter daripada orang lain (social distancing) sukar diamalkan, mereka perlu memakai pelitup separuh muka
(facemask);

* Gunakan aplikasi MySejahtera untuk menjalankan penilaian kesihatan kendiri;

* Gelang perintah pengawasan wajib dipakai sepanjang tempoh HSO;

* Menjalani ujian Covid-19 pada hari ke-13 di klinik swasta atau klinik kesihatan yang diiktiraf oleh KKM, serta mendapatkan salinan keputusan ujian tersebut.