Malaysia Dateline

Covid-19: Keadaan semakin meruncing, KKM jangka 13,000 kes pada 14 Jun

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengulangi amarannya mengenai trend peningkatan jangkitan Covid-19.

Menurutnya, keadaan semakin meruncing dengan trend kenaikan kes lebih mendadak serta jumlah katil di unit rawatan rapi (ICU) yang semakin berkurangan.

“KKM akan terpaksa pilih katil ICU untuk pesakit yang berpotensi lebih tinggi untuk sembuh. Ini situasi sukar yang mendepani kita semua,” katanya dalam sidang media hari ini.

Untuk rekod, angka kes dimasukkan ke ICU terus meningkat dengan sebanyak 846 pesakit Covid-19 sedang dirawat di ICU setakat jam 12 tengah hari tadi manakala 419 kes daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan unjuran KKM yang menjangkakan kes harian Covid-19 sebanyak 13,000 kes pada 14 Jun nanti.

“Itu sebab PKP 3.0 dilaksanakan supaya kita pastikan tiada pergerakan dan tiada perhimpunan,” tegasnya.

Dr Hisham juga mengingatkan kacukan varian baharu Covid-19, iaitu gabungan varian yang pertama kali dikenal pasti di India dan Britain telah dikesan di Vietnam.

Jelasnya, strain hibrid tersebut boleh merebak dengan cepat ketika empat varian membimbangkan (VOC) telah dikesan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil dan India.

Berhubung trend terbaharu jangkitan Covid-19 terhadap kanak-kanak yang semakin membimbangkan, beliau menasihatkan agar golongan terbabit tidak dibawa ke tempat awam termasuk pusat beli-belah.

“Pastikan kanak-kanak dan remaja kekal duduk di rumah,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam masa sama, Dr Hisham berharap wakil rakyat dapat membantu melakukan saringan di lapangan.