Malaysia Dateline

Covid-19 kekal lepasi 7,000 kes, lapan negeri dan wilayah catat kenaikan

Jangkitan baharu Covid-19 mencatatkan sedikit penurunan tetapi masih melepasi 7,000 kes untuk dua hari berturut-turut.

Sebanyak 7,097 kes baharu dikesan setakat jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini mencecah 799,790 kes.

Selangor dan Kuala Lumpur kekal mencatatkan empat angka dengan masing-masing 3,119 kes dan 1,005 kes.

Kedua-dua bacaan kes baharu itu turun sedikit berbanding 3,260 kes dan 1,550 kes semalam.

Dalam tempoh 24 jam, lapan negeri dan wilayah dengan tiga daripadanya negeri yang disenaraikan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mencatatkan pertambahan kes baharu.

Daripada lapan negeri dan wilayah itu, Negeri Sembilan dan Melaka merekodkan peningkatan kes harian masing-masing kepada 788 kes dan 358 kes.

Tiga negeri dalam kategori Fasa 2 PPN yang turut mencatatkan pertambahan kes ialah Pahang dengan 258 kes, Perak (140 kes) dan Kelantan 123 kes.

Pola kes baharu Covid-19 juga meningkat di Malaysia Timur dengan terdapat 289 kes di Sarawak, Sabah (244 kes) dan Labuan 93 kes.