Malaysia Dateline

Covid-19 kekal lepasi 9,000 kes, 65 peratus kes di Selangor dan KL

Jangkitan baharu Covid-19 melambung kepada 9,105 kes hari ini sekali gus menyaksikan tiga hari berturut-turut angka melebihi 9,000 kes.

Sebanyak 65 peratus kes positif dikesan di Selangor dan Kuala Lumpur dengan masing-masing 4,682 kes dan 1,247 kes.

Pertambahan tersebut menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di negara ini mencecah 836,296 kes.

Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan Selangor mencatat angka lebih 4,000 kes harian untuk empat hari berturut-turut.

Sementara itu, terdapat 541 kes baharu di Negeri Sembilan manakala lebih 300 kes dilapor di Johor (392 kes), Kedah (382 kes) dan Pahang dengan 300 kes.

Selain Pahang, empat negeri dalam kategori Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut mencatatkan pertambahan kes baharu berbanding semalam.

Senarai negeri terbabit ialah Sabah dengan 271 kes selepas hanya semalam masuk dalam senarai Fasa 2 PPN.

Pertambahan kes berbanding semalam juga dikesan di Pulau Pinang dengan 243 kes disusuli Perak (207 kes) dan Kelantan 150 kes.

Dua negeri lagi yang mencatatkan lebih 200 kes hari ini ialah Melaka dan Sarawak dengan masing-masing 278 kes dan 270 kes.

Manakala empat negeri dan wilayah kekal kurang 100 kes iaitu Labuan (54 kes), Putrajaya (49 kes), Terengganu (38 kes) manakala Perlis hanya satu kes.