Malaysia Dateline

Covid-19: Kelantan pecah rekod atasi Selangor, Sarawak

Kelantan melaporkan kes harian Covid-19 tertinggi iaitu sebanyak 662 kes atau 23 peratus daripada 2,875 kes baharu hari ini.

Peningkatan kes positif baharu Covid-19 melebihi 2,000 hari ini juga mengatasi kes sembuh iaitu 2,541 kes.

Kes aktif terus melonjak kepada 22,014 kes berbanding semalam 21,687 kes dengan 248 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah pesakit di ICU itu, 115 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh kematian direkodkan menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 kini mencecah 1,407 kes.

Bagi kes kematian hari ini, enam warga tempatan dan satu warga asing dengan tiga kes di Sabah dan dua kes di Selangor manakala Sarawak dan Kelantan, masing-masing satu kes.

“Kes melibatkan empat lelaki dan tiga wanita termasuk seorang warga asing berusia antara 44 hingga 80 tahun dengan mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.

“Antara penyakit dikesan iaitu obesiti, kencing manis, darah tinggi, jantung, buah pinggang kronik, gout, thoracic aneurysm, paru-paru obstruktif kronik, dislipidemia dan tuberkulosis,” katanya.