Malaysia Dateline

Covid-19: Kematian tertinggi dua hari berturut-turut

Malaysia merekodkan jumlah kematian tertinggi hari ini sejak penularan Covid-19 di negara ini dengan 153 kes dilaporkan.

Angka itu menyaksikan rekod kes kematian harian untuk dua hari berturut-turut dengan 138 kes maut semalam.

Sebanyak 10,710 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhannya 916,561 kes dengan 4,828 kes sahaja dikesan di Selangor.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada daripada 10,710 kes baharu direkodkan, 2.1 peratus kes iaitu 231 kes berada pada kategori 3, 4 dan 5.

“Meskipun peratusan kes di kategori 3 hingga 5 adalah tidak tinggi, namun harus diambil perhatian bahawa kes kategori 5 memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 21 hari,” katanya.

Sementara itu, jelasnya kes kategori 4 memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 14 hari manakala kes kategori 3 pula memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama bagi golongan berisiko tinggi.

Sementara itu, sebanyak 909 pesakit Covid-19 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 445 kes lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.

Terdapat 5,778 kes telah sembuh sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 784,949 kes.