Malaysia Dateline

Covid-19: Kematian tertinggi, kes aktif terus meningkat 51,977

Sebanyak 24 kes kematian baharu dilapor hari ini sekali gus rekod kematian tertinggi sejak pandemik itu muncul di Malaysia.

Kali terakhir Malaysia mencatatkan jumlah kematian harian paling tinggi sebanyak 21 kes pada 2 Februari lalu.

Dalam masa sama, terdapat 3,100 kes baharu hari ini dengan kes aktif terus melonjak kepada 51,977 kes.

Jumlah kumulatif kematian dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini mencecah 896 kes iaitu 0.4 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan.

Seramai 282 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 134 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, sebanyak 2,340 pesakit sembuh sehingga 12 tengah hari tadi dengan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 192,679 kes atau 78.5 peratus.

Malaysia sudah mencatatkan jumlah 245,552 kes positif Covid-19 dengan pada masa ini berdepan gelombang ketiga pandemik.