Malaysia Dateline

Covid-19 kembali lepasi 13,000 kes, 60 peratus di Lembah Klang

Kes harian Covid-19 di Malaysia naik mendadak dengan sejumlah 13,034 kes dilaporkan hari ini, angka harian kedua tertinggi dicatat sejak pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 mencecah 964,918 kes.

Kes harian tertinggi setakat ini direkodkan sebanyak 13,215 kes pada 15 Julai lalu.

Sebanyak 60 peratus iaitu 7,760 kes hari ini direkodkan di Lembah Klang dengan Selangor kekal tertinggi 6,049 kes diikuti Kuala Lumpur (1,611 kes) dan Putrajaya 100 kes.

Tiga negeri mencatatkan pertambahan jangkitan baharu Covid-19 melebihi 700 kes iaitu Johor (791 kes), Negeri Sembilan (711 kes) dan Kedah (701 kes).

Sementara itu, Sarawak merekodkan lonjakan mendadak kepada 644 kes baharu berbanding 261 kes semalam manakala Sabah mengalami sedikit peningkatan kepada 497 kes hari ini.

Dalam tempoh 24 jam juga, tiga negeri pula dikenalpasti mempunyai lebih 300 kes baharu iaitu Terengganu (391 kes), Pulau Pinang (371 kes) dan Melaka (353 kes).

Rekod melebihi 200 kes dilaporkan di tiga negeri yang berada dalam kategori Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu Perak (284 kes), Pahang (261 kes) dan Kelantan (240 kes).

Kecuali Perak, berlaku penurunan kes harian untuk dua hari berturut-turut di Pahang dan Kelantan yang masing-masing mencatatkan jumlah jangkitan 20,100 kes dan 38,533 kes.

Hanya dua negeri dan wilayah mencatatkan kes baharu kurang 50 kes iaitu Labuan dengan 24 kes manakala Perlis enam kes.