Malaysia Dateline

Covid-19 kembali lepasi 5,000 kes, jangkitan sembilan negeri meningkat

Kes baharu Covid-19 kembali melepasi 5,000 kes apabila mencatatkan 5,244 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pandemik itu kini bertambah kepada 711,006 kes.

Kenaikan kes hari ini berlaku selepas dua hari berturut-turut kes baharu Covid-19 di sekitar 4,000 kes.

Sembilan negeri didapati mencatatkan pertambahan kes baharu berbanding semalam dengan Selangor kekal negeri tertinggi iaitu 2,001 kes diikuti Negeri Sembilan (677 kes) dan Sarawak 577 kes.

Enam negeri lagi yang menyaksikan pertambahan kes baharu ialah Johor (282 kes) disusuli Pahang (245 kes), Kedah (189), Melaka (180 kes), Perak (75) dan Putrajaya 13 kes berbanding tujuh kes semalam.

Hanya satu kes baharu dilapor di Perlis dalam tempoh 24 jam berbanding dua kes semalam.

Sementara itu, kes Covid-19 di dua negeri Pantai Timur Semenanjung yang berjiran, Kelantan dan Terengganu menurun masing-masing kepada 81 dan 27 kes.

Kes baharu di Labuan juga menyusut dua angka dengan 77 kes hari ini berbanding 104 kes semalam manakala Sabah mempunyai 129 kes juga berkurang berbanding 193 kes semalam.