Malaysia Dateline

Covid-19 kembali melonjak, kes di Pahang naik mendadak

Sebanyak 6,387 pesakit baharu Covid-19 dilaporkan hari ini sekali gus meningkat berbanding 6,045 kes semalam.

Pertambahan kes pandemik itu yang melepasi 6,000 kes berlaku untuk tempoh tujuh hari berturut-turut.

Susulan itu, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini mencecah 785,039 kes dengan
Selangor kekal satu-satunya negeri merekodkan kes harian empat angka.

Bahkan, Selangor hari ini merekodkan peningkatan kepada 2,610 kes baharu berbanding 2,262 kes semalam.

Dalam tempoh 24 jam juga, Pahang yang kelmarin diumum antara negeri yang beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) merekodkan kenaikan mendadak dengan 312 kes baharu.

Dalam masa sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memaklumkan Pahang mencatat kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 paling tinggi dengan nilai 1.17.

Angka yang melebihi nilai Rt negara, 1.06 itu turut dikongsi Putrajaya yang merekodkan 25 kes hari ini berbanding 16 kes semalam.

Selain itu, tiga negeri dan wilayah juga mencatatkan peningkatan kes baharu iaitu Kuala Lumpur (819 kes), Sarawak (424 kes) dan Sabah dengan 263 kes.

Sementara itu, Terengganu menyaksikan penurunan drastik jangkitan Covid-19 dengan 17 kes hari ini berbanding 54 kes semalam.

Hanya Perlis kekal dua hari berturut-turut tidak melaporkan pertambahan kes baharu hari ini.