Malaysia Dateline

Covid-19 kembali melonjak lepasi 3,000 kes, Selangor kekal kes tertinggi

Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini kembali melonjak melepasi angka 3,000 berbanding semalam 2,500 kes.

Sebanyak 3,120 kes direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pandemik tersebut di negara ini mencecah 420,632 kes.

Selangor masih kekal mencatatkan jangkitan harian Covid-19 tertinggi iaitu 675 kes diikuti Sarawak (620 kes), Kuala Lumpur (408 kes) dan Johor 336 kes. Hanya Perlis tiada kes baharu.

Dalam masa sama, kes aktif dengan kebolehjangkitan terus meningkat kepada 31,516 kes berbanding 30,753 kes semalam.

Daripada keseluruhan 31,516 kes aktif dengan kebolehjangkitan, 338 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 181 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, bilangan kematian hari ini meningkat kepada 23 kes berbanding 18 kematian semalam.

Pertambahan baharu kematian akibat Covid-19 menjadikan kumulatif kematian berjumlah 1,574 kes iaitu 0.37 peratus.