Malaysia Dateline

COVID-19 kembali meningkat kepada 1,304 kes, 96 dalam ICU

Kes baharu positif COVID-19 dalam negara kembali meningkat kepada 1,304 kes hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 45,095 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,822 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 1,304 kes baharu pada hari ini, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Katanya, sehingga kini, terdapat 96 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 39 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 304 kes (0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),”katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, negeri Sabah mencatatkan sebanyak 556 kes (42.6 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 567 kes iaitu peningkatan sebanyak 2.5 kali ganda
berbanding 224 kes positif semalam.

Negeri Selangor melaporkan 364 kes pada hari ini (27.9 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak
202 kes (15.5 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes positif yang dilaporkan pada hari ini.

Daripada 567 kes yang dilaporkan di negeri-negeri di Lembah Klang, sebanyak 488 kes (86.1 peratus) adalah daripada kluster-kluster.

Pada hari ini, sebanyak 33 kes (2.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara. Ini melibatkan Kluster Penjara Seberang Perai (20 kes), Kluster Penjara Kepayan (8 kes), Kluster Rumah Merah (3 kes) dan Kluster Tembok (2 kes).

Bagaimanapun, pada hari ini, Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih COVID-19 sebanyak 900 kes menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 32,969 kes.