Malaysia Dateline

Covid-19: Kempen bacaan Yaasin, Al-Kahfi malam ini

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru umat Islam di negara ini menggunakan peluang malam Jumaat ini agar berdoa menghadapi wabak Covid-19.

Serentak pada 24 Rejab 1441H ini juga, orang ramai digalakkan melakukan solat hajat dan berdoa di rumah masing-masing ketika Malaysia berada di kedudukan teratas kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan negara ASEAN.

“Munajat agar dunia diselamatkan daripada wabak Covid-19. Digalakkan membaca surah al-Kahfi juga,” dipetik daripada poster Jakim yang dikongsi warga maya.

Setakat 12 tengah hari tadi, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 sudah mencecah 900 kes dengan sebanyak 110 kes baharu.

Daripada jumlah kes baharu itu, 63 kes daripadanya adalah daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Sementara itu, seramai 20 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mereka kini memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam masa sama, 15 individu sudah dibenarkan pulang hari ini sekali gus kes pulih sepenuhnya berjumlah 75 kes.

Untuk rekod, Malaysia pada masa ini berada di tangga teratas di Asia Tenggara negara paling tinggi kes Covid-19 dan ke-18 di peringkat dunia.

Kedudukan Malaysia bagi wabak berbahaya itu mengatasi Singapura dengan setakat jam 7.30 malam ini berjumlah 313 kes diikuti Indonesia (311) dan Thailand (272), Vietnam (76) dan Brunei 75 kes.