Malaysia Dateline

Covid-19: Kerajaan buat apa elak rakyat terkapai-kapai?

Kerajaan minta rakyat bersatu lawan Covid-19. Cuba bagi tahu, apa yang rakyat perlu buat? Semua perkara yang kerajaan minta rakyat sudah buat.

Penjarakan fizikal, pakai pelitup muka, duduk rumah, kuarantin, buat swab, cuci tangan, bawa sejadah ke masjid, apa lagi?

Apa lagi arahan kerajaan yang rakyat tidak buat? Henti berpolitik! Tak payah sembang karilah. Pemimpin kerajaan pun berpolitik.

Kini, hanya kakitangan awam yang tidak terlalu rasa perit. Semua sektor lain termasuk pekerja sektor industri bak telur di hujung tanduk.

Apa kerajaan boleh buat? Bagi saya, turunkan harga barang keperluan asas seperti beras, minyak, tepung, ikan, roti, sayur dan ubat.

Potong gaji menteri dan kakitangan awam jawatan utama. Salurkan pemotongan itu untuk subsidikan barang keperluan asas tadi.

Ya, tidaklah terlalu banyak, tetapi itu usaha yang wajar dibuat. Jika ini tidak boleh dibuat, apa lagi yang boleh diharap.

Kurangkan beban rakyat dengan mansuh atau turunkan bayaran kepada kerajaan seperti lesen memandu, duti setem dan banyak lagi.

Macam mana kerajaan nak dapat duit untuk biayai pentadbiran? Kenalpasti rakyat dan pemimpin yang super kaya dan buat sesuatu untuk ambil harta mereka secara paksa.

Jika orang Islam, ambil juga selain zakat. Jika bukan Islam, ambil lagi selain cukai wajib. Inilah masanya mereka berkorban untuk negara.

Permudahkan rakyat untuk keluarkan apa-apa simpanan yang mereka ada seperti KWSP akaun 1, atau apa-apa tabungan lain untuk merancakkan aktiviti ekonomi.

Apa yang nampak pada hari ini, kerajaan bukannya tolong rakyat tapi membiarkan rakyat terkapai-kapai untuk hidup sendiri.

Saya bukan ahli ekonomi. Boleh jadi idea saya tidak relevan. Kalau begitu, mana idea relevan ahli ekonomi?

*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.