Malaysia Dateline

Covid-19: Kerajaan digesa ambil langkah proaktif bantu wanita terjejas

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi menggesa pihak Kerajaan supaya mengambil langkah proaktif bagi membantu golongan wanita yang bekerja dalam sektor kritikal berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu memikirkan langkah proaktif bagi membantu golongan wanita terutama para ibu yang perlu terus bekerja dalam sektor kritikal.

Ujarnya, mereka yang bekerja dalam sektor seperti keselamatan, kesihatan, perbankan dan telekomunikasi, amat memerlukan khidmat pengasuhan kanak-kanak ekoran akibat penutupan sementara taska-taska berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sehubungan itu kata Aiman, kerajaan pada hari ini digesa untuk mempertimbangkan cadangan-cadangan berikut sebagai pakej rangsangan wanita bekerjaya menghadapi Covid-19:

i) Elaun Tambahan Khas Penjagaan Kanak-kanak bagi menampung pekerja wanita yang terpaksa mencari pengasuh baru (di rumah) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan dalam masa yang sama mereka masih perlu membayar yuran Taska sedia ada;

ii) Pemberian Insensif Taska kepada taska-taska sedia ada bagi menampung kos penyeliaan taska mereka, dalam masa yang sama, anak-anak di taska boleh diagihkan antara pengasuh-pengasuh taska sedia ada untuk dijaga di rumah pengasuh taska masing-masing; dan

iii) Memperluaskan Perkhidmatan “Mobile Nursery” sedia ada dengan memberikan suntikan Dana Khas kepada ibu-ibu bekerjaya untuk meninggalkan anak-anak di rumah sendiri, dengan penjagaan pengasuh dari “Mobile Nursery” ini.

“Adalah diharapkan dengan langkah-langkah proaktif yang dicadangkan ini dapat mengurangkan beban para petugas barisan hadapan di negara ini, sekali gus pada masa yang sama kebajikan serta keselamatan kanak-kanak berkenaan sentiasa terpelihara.

“AWAN Nasional juga ingin merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua Petugas Barisan Hadapan Malaysia yang terdiri daripada kakitangan KKM khususnya daripada pelbagai peringkat dan bidang kepakaran.

“Andalah pejuang sebenar yang perlu didendang,” kata beliau.

Jelas beliau, AWAN Nasional mengambil maklum statistik yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menunjukkan Malaysia mencatatkan jumlah kes disahkan positif sebanyak 673 kes, dengan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing merupakan negeri yang tertinggi iaitu melebihi 130 kes sehingga 17 Mac 2020 jam 5.00 petang.