Malaysia Dateline

Pekerja di sektor pembuatan paling ramai diberhentikan kerja

Covid-19: Kerajaan digesa kuatkuasa larang majikan berhentikan pekerja

Biro Kanun Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menggesa agar kerajaan melalui Menteri Sumber Manusia segera menguatkuasakan larangan menyeluruh ke atas majikan yang memberhentikan pekerja atas alasan pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Soraya Ahmad Salim berkata, ia selepas menyedari beberapa kes pekerja diberhentikan serta merta, dengan sebahagiannya tanpa tempoh notis penamatan perkhidmatan yang mencukupi mahupun notis ganti rugi.

Menurutnya, larangan ini termasuklah membentangkan pindaan undang-undang berkaitan di Parlimen sekiranya perlu, dengan kadar segera bagi memastikan larangan terpakai kepada majikan di semua sektor.

“Ambil tindakan tegas ke atas majikan yang melanggar undang-undang dalam proses pemberhentian pekerja, khususnya mereka yang gagal mengemukakan alasan kukuh.

“Pastikan faedah atau pampasan yang diterima pekerja yang terpaksa diberhentikan adalah munasabah dan mengikut proses yang diperuntukkan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Soraya mengingatkan, sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai kuasa mengemukakan pindaan undang-undang, ianya tidak cukup sekadar mengeluarkan Soalan-soalan Lazim (FAQs), atau SOP demi SOP yang tidak mempunyai kesan perundangan.

Dakwanya, kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan program pengekalan pekerjaan yang lebih komprehensif ketika ini, menyebabkan berlakunya siri-siri pembuangan pekerja terutamanya dari kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Tambahnya lagi, Skim Subsidi Upah yang diperkenalkan melalui pakej prihatin terlalu kecil dan ternyata tidak mencukupi untuk menampung kerugian PKS yang akhirnya terpaksa memilih untuk membuang pekerja.

Malah, jumlah subsidi yang disalurkan kepada majikan sehingga kini hanyalah RM3.2 bilion daripada jumlah keseluruhan RM13.8 bilion yang diumumkan walaupun tempoh PKP telah hampir 3 bulan berlalu.

Maka beliau berkata, dijangkakan lebih ramai majikan terpaksa mengambil langkah-langkah pengurangan kos seperti pemberhentian kerja tetap atau sementara kesan penutupan operasi sepanjang tempoh PKP.

Ujar Soraya, pada saat rakyat berdepan pelbagai cabaran menyesuaikan kehidupan dengan normal baharu, pengangguran dan kehilangan pekerjaan bukanlah normal baharu yang harus ditempuhi rakyat dalam tempoh yang sukar ini.

Beliau juga menggesa agar kerajaan memanjangkan tempoh rayuan dan memberikan kelonggaran tempoh mengemukakan aduan, rayuan atau representasi pemulihan kerja di semua agensi termasuk JTK, JPP dan Mahkamah Perusahaan sepanjang tempoh PKP sehingga Disember 2020 bagi memastikan pekerja tidak dinafikan hak menuntut pampasan sewajarnya atas pemberhentian kerja.

Justeru katanya, kerajaan harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya menguatkuasakan pematuhan undang-undang dalam kalangan majikan yang berlindung disebalik teknikaliti perundangan untuk merasionalkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka.