Malaysia Dateline

Covid-19: Kerajaan diharap pertimbang ganti solat Jumaat dengan solat Zohor

Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan untuk melaksanakan tindakan pencegahan Covid-19 dengan mengarahkan semua masjid dan surau Jumaat untuk ditutup dan dinyahjangkit (disinfect), kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, susulan kes perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur yang masih belum selesai, amatlah wajar sekiranya solat Jumaat pada 20 Mac depan diganti dengan solat Zohor di rumah.

“Kerajaan juga perlu segera mempertimbangkan agar semua program besar yang melibatkan lebih 50 orang di masjid, surau Jumaat dan surau, ditangguhkan.

“Semua rumah ibadat termasuk gereja, gurdwara, kuil dan lain-lain juga perlu ditangguhkan, termasuklah acara yang melibatkan perkumpulan orang ramai buat sementara waktu,” katanya dalam muatnaik status di Facebooknya.

Pada 12 Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bertegas memaklumkan situasi semasa penularan virus Covid-19 masih terkawal di negara ini dan tidak memerlukan solat Jumaat dihentikan.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, solat yang diwajibkan kepada lelaki Muslim itu hendaklah diteruskan dengan beberapa perubahan dilakukan, antaranya memendekkan khutbah Jumaat.

Sementara itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR berharap, semua sekolah rendah dan menengah dapat dilanjutkan tempoh cuti sekolah untuk satu minggu lagi.

Manakala semua aktiviti termasuk kuliah di universiti-universiti pula, ditangguhkan untuk tempoh dua minggu.

“Saya juga berpandangan, bahawa maklumat berkait isu Covid-19 disalurkan hanya melalui seorang atau dua jurucakap rasmi kerajaan sahaja,” jelasnya.