Malaysia Dateline

Covid-19: Kerajaan negeri PH bukan kerajaan negara asing

Jika ditanya pendapat peribadi, saya bersetuju dengan tindakan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya 14 hingga 27 Oktober ini.

Bersetuju kerana masih ramai rakyat, termasuk penduduk di kawasan tempat saya tinggal yang degil, dan tidak mempedulikan keadaan Covid-19. Mereka berlagak seperti tiada apa-apa berlaku. Mereka tidak mempedulikan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berlangsung, malah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lagi.

Ramai yang tidak memakai pelitup separuh muka – jika memakai pun tidak sempurna, tidak menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangya satu meter, serta suka merayau ke sana ke sini, dan berkumpul tanpa sebarang tujuan.

Jadi, saya fikir wajarlah dikenakan PKPB supaya mereka yang ‘ketegaq’ itu lebih sedar. Cuma, dikesali kerana mereka yang patuh selama ini turut (sekali lagi) menjadi ‘mangsa’ keadaan. Ini tidak adil, bukan (biarpun corona tidak peduli si patuh dan si degil, PKP atau PKPP)?

Walau bagaimanapun, dari segi adab dan etika, saya tidak bersetuju. Selain kerana kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, ada beberapa daerah di negeri itu tidak perlu dikenakan PKPB ekoran situasi pandemik Covid-19 di lokasi terlibat masih terkawal, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah memanggil ketua/wakil kerajaan negeri pembangkang sama-sama bermesyuarat membincangkan isu negara, termasuk pelaksanaan PKPB ini.

Sebagai respons terhadap sanggahan Amirudin itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan langkah melaksanakan PKPP memang tepat.
Memanglah Muhyiddin (akan) bersetuju dan memuji kerana mustahil menyanggah tindakan menteri beliau sendiri. Pasti juga tindakan tersebut bermula dari arahan beliau!

Sama ada pelaksanaan PKPB tepat atau tidak, masih boleh dibahaskan. Apa yang menarik, tetapi dikesali ialah mengapa kerajaan negeri di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disisihkan dalam perbincangan hal keselamatan, dan kesejahteraan negara?

Selain Selangor, kerajaan negeri PH ialah Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.
Apa masalahnya hingga mengecualikan? Rakyat memilih kerana demokrasi dan hak memilih untuk Malaysia yang lebih baik.

Kejatuhan PH pun bukan menerusi Pilihan Raya Umum, tetapi kerana pengkhianatan. Oleh kerana itu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan masih di bawah kerajaan PH.

Memang benar Covid-19 tidak peduli sama ada kerajaan negeri PN atau kerajaan Negeri PH. Walau bagaimanapun, penyelarasan amat penting dalam mengekang, dan menghapuskan wabak pandemik tersebut.

Jangan hanya mengatakan tiada rakyat yang tertinggal seperti yang dicanang dalam perutusan Bantuan Prihatin Nasional (meskipun memang ada rakyat yang tertinggal tidak menerima bantuan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi itu).

Bukan sahaja ketika bencana penyakit, sewaktu menghadapi bencana alam pun kerajaan negeri pembangkang tersisih – seolah-olah warga asing, sedangkan rakyatnya juga warganegara Malaysia.

Usahlah tidak beretika dan tidak bertamadun seperti itu. Jangan umpama mengumpan kerajaan negeri pembangkang ‘melontar bola tanggung untuk dihunjam’. Apabila Ketua Menteri dan Menteri Besar kerajaan negeri PH meminta bantuan, kerajaan PN/Persekutuan tersenyum sinis, membidas, dan menyindir sambil memberi pertolongan.

Kerajaan negeri PH bukan kerajaan asing. Rakyatnya bukan rakyat negara asing, atau planet lain. Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan masih dalam Malaysia! Itu pun masih baik, dan waras kerana tidak memohon bantuan kerajaan negara luar!

Menurut Amirudin, pandangan mengenai perkara itu telah dihantar untuk dinilai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), berikutan penguatkuasaan PKPB di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan/PN.

Jelas Amirudin, beliau mengetahui ada beberapa kawasan (penularan Covid-19 di Selangor) masih terkawal dan maklumat itu (diperoleh) berdasarkan mesyuarat bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), polis dan lain-lain.

Amirudin menambah, beliau tahu kes Covid-19 berselerak, tetapi pihaknya ada beberapa alasan tertentu hasil saranan JKNS. Ia bukan pandangan peribadi yang cuba untuk berbeza daripada Kerajaan Persekutuan/PN. Beliau berharap ia dibincangkan dalam mesyuarat MKN.

Jelas Amirudin, penguatkuasaan PKPB di seluruh Selangor juga dilihat agak ‘kurang adil’, khususnya kepada penduduk di kawasan Sabak Bernam, Tanjong Karang dan Kuala Selangor, kerana jumlah kes jangkitan Covid-19 di sana rendah.

Amirudin mengakui aspek kesihatan sentiasa menjadi keutamaan. Namun demikian, kadar kekurangan pendapatan yang agak tinggi di Sabak Bernam dan Kuala Selangor harus turut diberikan perhatian dalam pelaksanaan PKPB.

Menurut Amirudin, kerajaan Persekutuan/PN membenarkan sektor ekonomi beroperasi, tetapi menutup sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan taska, pasti ramai pekerja terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak masing-masing.

Bagi Amirudin, menguatkuasakan PKPB memberi impak besar. Walau bagaimanapun, katanya, jika Kerajaan Persekutuan/PN berasa tidak perlu melakukan perubahan, pihaknya bersetuju kerana Kerajaan Negeri Selangor hanya memberi cadangan.

Mengenai ujian saringan bersasar Covid-19 oleh Kerajaan Negeri Selangor (KNS) , Amirudin menjelaskan buat masa ini ia akan dilakukan di kawasan Petaling Jaya, selepas ada jemaah di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang dikesan positif wabak itu.

Masjid itu dihadiri lebih seribu jemaah. Walaupun Jabatan Agama Islam Selangor telah meminta jemaah membuat saringan, namun mereka dapat dikesan. Justeru, KNS akan membuat ujian saringan di dalam masjid bagi memudahkan jemaah datang, dan tiada yang tertinggal.

Setakat ini, 733 individu yang pulang dari Sabah pada 20 hingga 26 September lalu telah menjalani ujian saringan bersasar itu, dan lima daripadanya tidak bergejala, tetapi dikesan positif Covid-19.

Dalam pada itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berpendapat pelaksanaan PKBB menelan kos yang tinggi, dan sepatutnya kerajaan Persekutuan/PN melaksanakan hanya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Bersasar. Ini boleh dianggap senada dengan Amirudin.