Malaysia Dateline

COVID-19: Kerajaan sekat kapal persiaran yang pernah berlabuh di China memasuki Malaysia

Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal persiaran yang berlepas atau transit di mana-mana pelabuhan di China daripada memasuki Malaysia.

Ini selepas kes terbaru membabitkan seorang wanita warga Amerika Syarikat berumur 83 tahun yang merupakan antara penumpang kapal persiaran Westerdarm yang berlabuh di Cambodia pada 13 Februari, disahkan positif COVID-19.

Difahamkan, kapal persiaran tersebut turut mencatat rekod pernah berlabuh di Hong Kong sehari sebelum memulakan perjalanan selama 14 hari pada 1 Februari sebagai East Asia Cruise.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, menegaskan, baki penumpang kapal persiaran Westerdam yang masih berada di Combodia dengan itu adalah tidak dibenarkan dari memasuki Malaysia.

“Ini kerana kita mengambil kira semua penumpang tersebut adalah kontak rapat dengan kes yang disahkan positif terdahulu.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memaklumkan kepada pihak penerbangan MAS berkenaan kes positif hasil daripada ujian yang dijalankan.

“Sehubungan dengan itu, penumpang-penumpang lain pesawat tersebut dianggap sebagai kontak rapat. Berdasarkan keputusan tersebut, MAS telah membatalkan baki penerbangan sewa khas yang lain,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud

Terdahulu, satu penerbangan sewa khas (MH8763) yang membawa 145 orang penumpang telah mendarat di KLIA pada 14 Februari 2020.

Kesemua 145 penumpang yang tiba telah menjalani saringan kesihatan dan dua daripada penumpang (suami isteri warganegara Amerika Syarikat) dikesan bergejala melalui thermal scanner serta dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan selanjutnya.

Tambah Azizah, ujian ulangan COVID-19 dijalankan ke atas pasangan suami isteri tersebut lewat malam tadi di mana keputusan sama diperolehi iaitu positif bagi isteri dan negatif bagi suaminya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, seramai 143 penumpang yang melepasi saringan didapati tidak bergejala, di mana seramai 137 orang telah meneruskan perjalanan manakala baki enam orang masih menunggu penerbangan sambungan ke destinasi masing-masing.

“Enam penumpang yang masih menunggu penerbangan selanjutnya, akan menjalani ujian pengesanan COVID-19.

“Sekiranya ujian tersebut disahkan negatif, penumpanh tersebut akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.

“Walau bagaimanapun, sekiranya didapati positif, penumpanh tersebut akan dibawa ke hospital bagi pemantauan kesihatan selanjutnya,” ujarnya.

Dr Wan Azizah memberitahu semua penumpang kapal persiaran Westerdam adalah kontak rapat dengan kes yang disahkan positif terdahulu.