Malaysia Dateline

Covid-19: Kes baharu kembali meningkat, lagi 5 kematian

Kes baharu Covid-19 kembali meningkat iaitu sebanyak 2,063 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 307,943 kes.

Daripada jumlah kes hari ini, sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi mencecah 630 kes diikuti Sarawak (361 kes) dan Pulau Pinang 337 kes.

“Sehingga kini seramai 193 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 99 daripadanya masih memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat lima kes kematian membabitkan warganegara dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian disebabkan oleh Covid-19 sebanyak 1,153 kes.

Kes kematian hari ini melibatkan dua lelaki dan tiga perempuan dengan kesemuanya berusia antara 70 hingga 79 tahun.

Kesemua mangsa yang maut mempunyai latar penyakit sekurang-kurangnya darah tinggi manakala tiga daripadanya mempunyai penyakit buah pinggang kronik.

Setakat 12 tengah hari tadi juga, terdapat 2,922 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 ialah 283,629 kes bersamaan 92.10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.