Malaysia Dateline

Covid-19: Kes baharu menurun kepada 1,828 kes, 2,486 lagi pesakit sembuh

Jumlah kes baharu Covid-19 menurun kepada 1,828 kes hari ini sekali gus angka terendah sejak Ordinan Darurat dilaksanakan pada 11 Januari lalu.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini sebanyak 302,580.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes yang dikesan hari ini, katanya, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Johor mencatatkan kes harian tertinggi hari ini dengan 490 kes baharu, diikuti Selangor iaitu 453 kes dan Sarawak pertambahan 220 kes baharu.

“Ia menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 25,542 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, terdapat 2,486 kes sembuh Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di negara ini sebanyak 275,903 kes atau 91.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, sebanyak 25,542 kes aktif termasuk 198 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 90 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, jumlah kematian mencecah 1,135 kes iaitu 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes selepas lima kematian lagi dilaporkan.