Malaysia Dateline

COVID-19: Kes kematian sebelum tiba di hospital meningkat 7 kali ganda

Sehingga 2 Julai 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan sebanyak 5,327 kes kematian (0.70 peratus) sejak pandemik COVID-19 melanda negara ini.

Manakala, sebanyak 4,856 (91.2 peratus) kes kematian telah dilaporkan pada tahun 2021.

Daripada jumlah kematian pada tahun 2021, sebanyak 670 (13.8 peratus) kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) dilaporkan.

Analisa CPRC Kebangsaan juga mendapati terdapat kenaikan tren kes-kes kematian BID iaitu sebanyak tujuh kali ganda dari bulan April (35 kes) sehingga Jun 2021 (246 kes).

Kebanyakan kes kematian BID ini adalah dari kumpulan umur 50 tahun sehingga 70 tahun (iaitu sebanyak 76.7 peratus) dengan sekurang-kurangnya satu komorbid (64.5 peratus).

Tiga negeri yang merekodkan kes kematian BID tertinggi pada tahun ini adalah Selangor iaitu sebanyak 181 kes (27.0 peratus), diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 78 kes (11.6 peratus), dan Sabah sebanyak 85 kes (12.7 peratus).

Sebanyak 73 kes kematian pada hari ini melibatkan 29 kes di Selangor, 13 kes di Negeri Sembilan, masing-masing lima (5) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah,masing-masing empat (4) kes di Johor, Pahang, dan Sarawak, tiga (3) kes di Wilayah Persekutuan Labuan,masing-masing dua (2) kes di Kelantan dan Pulau Pinang, serta masing-masing satu (1) kes di Melaka dan Kedah.