Malaysia Dateline

Covid-19: Kes melonjak kepada 563 kes, lagi enam kluster baharu

Gelombang ketiga penularan jangkitan Covid-19 hari ini terus melonjak kepada 563 kes sekali gus angka kedua tertinggi sejak wabak tersebut bermula di negara ini.

Susulan itu, jumlah keseluruhan positif Covid-19 kini sudah mencecah 16,220 kes.

Daripada 563 kes baharu hari ini, hanya satu kes import yang mendapat jangkitan dari Indonesia melibatkan warganegara.

Dua lagi kematian direkodkan iaitu di Sabah melibatkan wanita berusia 48 dan 85 tahun menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 berjumlah 159 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu terdapat enam kluster baharu iaitu dua di Kuala Lumpur manakala Putrajaya, Selangor, Johor dan Sabah masing-masing satu kluster.

Sementara itu, seramai 109 pesakit Covid-19 pulih dengan jumlah kumulatif pulih sebanyak 16,220 kes iaitu 67.9 peratus manakala terdapat 5,039 kes aktif hari ini.

Dr Hisham menerusi sidang media di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan seramai 98 pesakit Covid-19 dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) dengan 29 kes menggunakan mesin alat bantuan pernafasan.