Malaysia Dateline

Covid-19: Kes pesakit sembuh terus atasi kes baharu, 41,396 kes aktif hari ini

Seramai 5,709 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh sepenuhnya dengan sekali lagi mengatasi angka jangkitan baharu membabitkan 2,998 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 272,163 dengan 41,396 kes aktif.

Beliau berkata, hanya tujuh kes import dilaporkan, manakala 2,991 kes jangkitan lagi membabitkan penularan dalam negara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,382 kes (46.1 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 1,092 kes (79.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 436 kes (14.5 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 233 kes (7.8 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, seramai 231 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 115 daripadanya masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi terdapat 22 kes kematian dilapor menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 1,005 kes iaitu 0.37 peratus.