Malaysia Dateline

COVID-19: Kes positif meningkat ke 103 hari ini

Sebanyak 103 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kes positif wabak itu adalah sebanyak 7,732 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulllah berkata, daripada 103 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Katanya, daripada 96 kes penularan tempatan, 84 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia di mana 53 kes dikesan daripada Kluster Pedas dan 24 kes daripada Kluster Syarikat Pembersihan.

“Oleh itu, kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah 12 kes sahaja. Dimaklumkan juga, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,382 kes.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Lonjakan kes baharu dilaporkan pada hari ini adalah disebabkan oleh kes di kalangan bukan warganegara.

“Sehingga kini, seramai lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Bagi status terkini pesakit yang telah pulih, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 66 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari wabak itu dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,235 kes bersamaan 80.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Dimaklumkan juga, bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian wabak itu di Malaysia kekal sebanyak 115 kes bersamaan 1.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya lagi.

Semalam 28 Mei 2020  terdapat 10 kes baharu telah dilaporkan.