Malaysia Dateline

Covid-19: Kes positif seluruh dunia lebih 11.7 juta, kematian 540,000

Jumlah kes positif Covid-19 di seluruh dunia sudah mencecah sebanyak 11,739,167 kes setakat jam 9.45 pagi ini.

Menurut data terbaharu worldometers coronavirus, jumlah kematian pula merekodkan 540,660 kes.

Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan jumlah kumulatif 3.04 juta kes diikuti Brazil dengan 1.63 juta kes positif Covid-19.

India dan Rusia pula melepasi angka jangkitan setengah juta dengan masing-masing lebih 720,000 dan 687,000 kes.

Dalam pada itu, sebanyak 11 negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 iaitu Peru, Sepanyol, Chile, United Kingdom (UK), Mexico, Iran, Itali, Iran, Pakistan, Arab Saudi, Turki dan Afrika Selatan.

Manakala negara yang mencatatkan angka positif melebihi 100,000 adalah Jerman, Perancis, Bangladesh, Colombia, Kanada dan Qatar.

Negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 84,000 kes dengan China negara bermulanya penularan Covid-19 berada di tangga ke-22 dunia kes positif pandemik tersebut.

Sementara itu, statistik worldometers coronavirus menunjukkan AS kekal mencatatkan angka kematian tertinggi dengan 132,979 kes.

Brazil dan UK berada di tangga kedua dan ketiga dengan masing-masing merekodkan 65,556 dan 44,236 korban.

Manakala kes kematian di Itali dan Mexico akibat pandemik yang mulanya dikenali dengan nama virus Wuhan itu pula melebihi 34,000 dan 31,000 kes.

Sementara Perancis dan Sepanyol masing-masing hampir 30,000 dan 29,000 kematian akibat Covid-19.

Negara lain masih merekodkan angka kematian di bawah 20,000 kes manakala 30 negara di dunia langsung tidak mencatatkan kematian akibat Covid-19.