Malaysia Dateline

Covid-19: Kes sembuh atasi kes jangkitan baharu

Rekod 4,427 kes sembuh Covid-19 hari ini adalah hari kedua lebih tinggi daripada kes jangkitan baharu iaitu 3,346 kes.

Angka tersebut sekali gus menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjanngkitan di seluruh negara berkurang untuk hari kedua kepada 41,677 kes.

Daripada jumlah kes aktif itu, 265 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 102 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini sebanyak 183,801 kes.

Menurutnya, kes baharu yang dilaporkan hari ini membabitkan 3,339 kes tempatan manakala baki tujuh kes import.

“Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 950 kes baharu diikuti Sabah (431) dan Kuala Lumpur (390),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lima negeri lain yang mencatatkan angka tiga digit kes baharu ialah Johor sebanyak 378 kes diikuti Sarawak (255), Terengganu (179), Negeri Sembilan (160) dan Melaka 152 kes.

Sementara itu, lapan negeri lain mencatatkan kes baharu kurang 100 kes dengan Putrajaya dan Perlis masing-masing mempunyai 38 dan tiga kes hari ini.