Malaysia Dateline

Covid-19: Khairy dedah hanya 14 peratus kes BID di bawah pemantauan

Mengikut data sejak Januari sehingga Ogos tahun ini, hanya 14 peratus sahaja kes kematian di luar hospital (BID) akibat Covid-19 berada di bawah pemantauan hospital Kementerian Kesihatan (KKM) atau swasta.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 86 peratus daripada 2,417 kes BID tidak berada di bawah pemantauan mana-mana institusi atau pengamal perubatan.

Sehubungan itu, pemimpin Umno itu berkata, KKM telah mengenal pasti langkah proaktif yang boleh diambil bagi membendung kes BID dengan lebih efektif.

“Kami cuba memahami faktor sebenar masalah ini, dan saya telah mengarahkan Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (KKM) pagi ini untuk mengenal pasti mengapa kes ini tidak di bawah sebarang pemantauan perubatan.

“Jadi, kami boleh membuat kesimpulan, serta dapat memberi nasihat yang lebih tepat kepada orang awam, supaya anda boleh membuat ujian saringan, atau terus dirujuk kepada CAC (Pusat Penilaian Covid-19) atau GP,” kata Khairy lagi.