Malaysia Dateline

COVID-19: “Kita jaga Allah, Allah jaga kita”

Penasihat Umum AMANAH Datuk Seri Ahmad Awang menyeru seluruh kepimpinan AMANAH sama ada di peringkat kawasan, negeri dan nasional melaksanakan solat hajat memohon rakyat negara ini dilindungi serta dihindari daripada penularan wabak COVID-19.

Katanya, melaksanakan solat hajat serta sentiasa berdoa kepada maha kuasa menunjukkan umat Islam berterusan mengingatkan Allah.

“Buatlah solat hajat di mana-mana tetapi dalam kita melakukan solat hajat diingatkan agar kita mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Ahmad juga meningatkan AMANAH bahawa Allah sedang menguji rakyat negara ini bagi melihat sejauhmana kesabaran menghadapi wabak pandemik ini.

“Allah uji kita sejauh mana kita boleh beramal sebaik-baiknya, beramal dengan perintahnya, beramal untuk kita mengabdikan diri kepadanya, beramal untuk memakmurkan bumi ini dengan menengakkan keadilan.

“Perbanyakkan doa mohon kepada Allah untuk mendapat kekuatan kita hadapi ujianNya termasuk dari segi ekonomi, hanya Allah sahaja tempat kita berdoa, kita digalakan bermunajat.

“Rasulullah menggalakan kita berdoa kerana ia adalah intipati ibadah dengan doa kita dapat menolak bala khususnya bagi kita orang Islam.

“Doa dapat mengingatkan kita takut pada penyakit dan kesusahan kerana kesusahan inilah akan mengundang segala macam perbuatan seperti merompak, mencuri, membunuh dan macam-macam lagi akhirnya keselamatan negara akan terancam.

“Kita jaga Allah, Allah jaga kita,” katanya.

Bagaimanapun beliau turut melahirkan rasa sedih apabila ada dalam kalangan pemimpin dan juga menteri yang melanggar SOP.

“Kalau rakyat langgar sikit bukan main kena denda segera, kalau pemimpin politik dilambat lambatkan seolah-olah mencari jalan untuk lepaskan mereka,” katanya.

Wabak COVID-19 yang sedang melanda Malaysia hari ini tidak nampak tren menurun dengan mencatat hampir 400 kes positif setiap hari sejak PRN Sabah diadakan akhir September lalu.

Walaupun beratus-ratus kes sehari dilaporkan kerajaan tidak berhasrat untuk melakukan PKP sebagaimana dilaksanakan ketika gelombang pertama Mac lalu kerana ia sangat memberi kesan kepada ekonomi negara serta rakyat negara ini.