Malaysia Dateline

Covid-19: KKM dapatkan kerjasama UNHCR kesan pelarian, pencari suaka

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama rapat dengan pihak United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pencari suaka (asylum seeker) turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan.

Dalam satu kenyataan petang ini beliau berkata, ini bagi mengekang sebarang penularan jangkitan yang berpotensi berlaku dalam masyarakat.

Sementara itu, bagi mengesan para peserta yang menyertai majlis perhimpunan Tabligh melibatkan golongan pelarian dan pencari suaka ini, jelasnya pihak UNHCR turut bekerjasama dengan pihak IMAM Response and Relief Team (IMARET), Malaysian Relief Agency dan MERCY Malaysia; selaku rakan kongsi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka.

“KKM turut serta dalam menjalankan aktiviti ini melalui penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah,” kata beliau.

Kata Dr Noor Hisham, pasukan bersama berkenaan akan menyalurkan maklumat mengenai jangkitan Covid-19 kepada golongan pelarian dan pencari suaka (asylum seeker).

Ujarnya, mereka turut memberikan penerangan mengenai kepentingan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala jangkitan COVID-19, walaupun mereka tidak menyertai perhimpunan tersebut.

“Ini mengambilkira mereka tinggal dalam komuniti yang kecil dan sentiasa berinteraksi rapat,” kata beliau.