Malaysia Dateline

Covid-19: KKM perlu perkukuhkan strategi pengurusan

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan berpendapat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memperkukuhkan strategi pengurusan kes berkaitan wabak Covid-19.

Dalam kenyataan bersama semalam, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (AMANAH), Dr Lee Boon Chye (PKR) dan Liew Chin Tong (DAP) berkata, pengukuhan itu adalah dari segi persediaan ruang khas (seumpama Pusat Kuarantin) bagi menempatkan kes-kes Covid-19 yang asimptomatik dan ringan perlu dilaksanakan.

“Dijangka hampir 80 peratus pesakit termasuk dalam kategori-kategori ini, yang memerlukan isolasi dan pemantauan setiap hari dengan keperluan perawat dan intervensi perubatan yang minima.

“Katil-katil hospital dan ICU perlu diutamakan bagi kes teruk dan kritikal. Pakatan Harapan amat menghargai jasa dan bakti para profesional dan petugas yang berada di barisan paling hadapan (frontliners), kerana mereka merupakan perisai dan benteng kita pada ketika wabak Covid-19 melanda negara.

“Kita juga perlu pastikan mereka mempunyai kelengkapan alat pelindung diri (PPE) yang secukupnya untuk memastikan mereka selamat dari jangkitan silang (cross infection).

“Masalah-masalah termasuk tekanan fizikal (fatigue) dan mental yang dihadapi mereka juga perlu diberi perhatian,” kata mereka menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan turut berpandangan, KKM perlu menetapkan keperluan perkhidmatan dari segi sumber manusia dan bekalan perubatan seperti PPE, katil hospital dan alat bantuan pernafasan (ventilator), seiring dengan kadar peningkatan kes sehingga ke hari ini, dan juga prospek peningkatan kes pada masa akan datang.

“Setakat hari ini, iaitu hari ke-7 berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malaysia telah mencatatkan 1,624 kes positif Covid-19 dan angka tersebut masih membimbangkan.

“KKM perlu meningkatkan keupayaan kesihatan awam dengan meningkatkan kapasiti saringan RT-PCR, dan penyediaan lebih ramai petugas bagi tujuan pengesanan kenalan (contact tracing) .

“Sebagai membantu dan memudahcara kakitangan barisan hadapan, adalah perlu pelaburan teknologi sewajarnya dalam bentuk aplikasi mobil dan kepintaran mesin dilaksana, sepertimana dilakukan di Korea Selatan, Taiwan dan Singapura.

“Amat penting untuk seluruh rakyat mengambil tanggungjawab melaksanakan tuntutan PKP ini dengan #StayHome, #DudukRumah serta mengamalkan penjarakan sosial dan segala penjagaan kebersihan seperti etika ketika batuk-bersin, membasuh tangan dengan sabun atau sanitizer, memakai penutup muka ketika perlu,” ujar mereka lagi.

Dalam berhadapan penularan wabak ini, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan turut menasihatkan bahawa komitmen rakyat Malaysia adalah amat diperlukan untuk mengurangkan tempoh PKP yang dijangka akan dilanjutkan.