Malaysia Dateline

COVID-19: Kluster Pudu disytihar tamat

Kes COVID-19 bagi Kluster Pudu melibatkan kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mula dikesan selepas saringan pekerja di sebuah tapak pembinaan disytiharkan tamat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif COVID-19 pertama kluster ini dikesan pada 10 Mei 2020 susulan saringan COVID-19 yang telah dijalankan bagi pekerja (inisiatif majikan syarikat tersebut).

Sehingga 3 Julai 2020, seramai 3,387 telah disaring dan didapati 80 kes yang positif COVID-19 (iaitu kadar positif 2.36 peratus).

Kes-kes positif kluster ini merangkumi 97.5 peratus bukan warganegara Malaysia

Katanya, kawalan pentadbiran telah dilaksanakan di kawasan kluster ini dengan bantuan pelbagai agensi lain bagi menjalankan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan seterusnya langkah pembendungan penularan jangkitan.

“Hasil siasatan mendapati bahawa faktor yang menyumbang kepada penularan jangkitan COVID-19 dalam kluster ini adalah penginapan yang sesak dan mempunyai ruang yang sempit.

“Keadaan ini telah mengakibatkan tiada amalan penjarakan sosial yang selamat dalam kalangan mereka yang dikesan positif,”katanya.

10 kes baharu

Dimaklumkan terdapat 10 kes baharu yang telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,658 kes.

Daripada 10 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua warganegara Malaysia.

Menurut Dr Hisham, daripada tiga kes penularan di dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Seremban, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke penjara.

“Dua kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kedua-dua kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan.

Sehingga hari ini katanya, tiada pertambahan kes kematian, justeru jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes.