Malaysia Dateline

COVID-19: Kluster Telaga ada kes baru, tiada kematian dilaporkan

Terdapat pertambahan satu kes baharu dilaporkan bagi Kluster Telaga di negeri Kedah menjadikan jumlah kes positif COVID-19 dalam kluster ini adalah sebanyak sembilan kes, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, kes ini (Kes ke-9391) merupakan kontak rapat kepada kes indeks (Kes ke-9284) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Beliau didapati positif COVID-19 semasa saringan yang dijalankan pada 3 September 2020.

“Sehingga 5 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 3,458 orang telah disaring dalam kluster ini.

“Daripada jumlah ini, 9 kes dikesan positif COVID-19, 2,744 individu negatif dan 705 individu masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, terdapat enam (6) kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,391 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 150 kes.

Enam kes baharu yang dilaporkan itu membabitkan empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

Untuk hari ini tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif
kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes.