Covid-19: Kluster tempat kerja terus bertambah, lapan kluster kilang diumum hari ini

Oleh ARIF ATAN

Sebanyak 11 kluster di tempat kerja dikesan hari ini daripada jumlah 13 kluster baharu yang diumum Kementerian Kesihatan (KKM).

Lapan daripada 11 kluster tempat kerja itu membabitkan pekerja kilang dengan dua kluster masing-masing di Negeri Sembilan dan Pahang.

Sementara itu, satu kluster tempat kerja berkaitan kilang dikesan masing-masing di Kedah, Sarawak, Johor dan Sabah.

Jumlah kes tertinggi dikesan dalam Kluster Industri 121 Kuala Baram di Miri dengan 132 daripada 221 individu disaring didapati positif Covid-19 setakat ini.

Di Negeri Sembilan, Kluster Industri TTJ 2 dan Kluster Industri Tech Valley Sendayan masing-masing merekodkan 31 dan 17 kes Covid-19 setakat ini.

Bagi kedua-dua kluster tersebut, seramai 750 pekerja kilang disaring dengan 632 orang daripadanya dalam Kluster Industri TTJ 2 yang melibatkan kilang di kawasan perindustrian Tuanku Jaafar, Seremban.

Sementara itu, lima lagi kluster kilang menyaksikan kesemua kes indeks melibatkan warganegara berusia dari 21 hingga 56 tahun.

Berikut butiran jumlah kes positif bagi kelima-lima kluster kilang itu berserta jumlah saringan dalam kurungan:

1. Dah Satu Industri Kulim di Fasa 1 Kulim Hi-Tech Park, Kulim – 52 (87)
2. Jalan Sri Sulong di Taman Perindustrian Sri Sulong, Batu Pahat – 13 (80)
3. Jalan Kayu Madang membabitkan kawasan Kota Kinabalu dan Tuaran – 18 (184)
4. Industri Bentong Sebelas 2 di Bentong – 9 (445)
5. Industri Jerantut Feri di Jerantut – 6 (58).