Malaysia Dateline

Covid-19: Kontena khas simpan jenazah, lebih 80 peratus kematian libatkan warga emas

Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah atau mayat yang meninggal dunia kerana Covid-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan lebih 80 peratus kematian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini melibatkan golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi.

“Kebanyakan mereka mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat.

“Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk anda melindungi mereka,” nasihat KKM lagi.

Setakat semalam, terdapat 1,902 kes kematian disebabkan oleh Covid-19 dilaporkan di negara ini.

Sementara itu, pengurusan jenazah atau mayat Covid-19 di Hospital Sungai Buloh dilaksanakan oleh kakitangan Jabatan Perubatan Forensik.

“Selepas proses pengecaman oleh waris, jenazah atau mayat diuruskan mengikut agama masing-masing sehinggalah urusan pengkebumian dengan prosedur ketat.

“Bagi jenazah Islam, urusan mandi jenazah dibuat secara tayyamun, mengkafan dan solat jenazah diketuai ustaz (orang awam) yang telah dilatih khas,” kata pihak KKM lagi.

Petugas kesihatan mengurus jenazah Islam dengan solat jenazah diketuai ustaz yang telah dilatih khas. Foto: FB KKM