Malaysia Dateline

Covid-19: Lagi 1,220 kes baharu, 41 kluster catat pertambahan

Sebanyak 1,220 kes Covid-19 baharu direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Malaysia mencecah 89,133 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan kes harian itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 berjumlah 14,671 kes setakat tengah hari tadi.

Menurutnya, terdapat enam kes import daripada jumlah kes baharu itu yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,214 kes.

Jelasnya, Selangor terus mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 368 kes atau 30.2 peratus daripada keseluruhan kes hari ini.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 247 kes atau 67.1 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Kuala Lumpur yang melaporkan sebanyak 297 kes atau 24.3 peratus dan Sabah sebanyak 184 kes atau 15.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 135 kes atau 11.1 peratus kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (98 kes), Kluster Tembok (36 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (satu kes).

Beliau berkata, setakat tengah hari tadi, sebanyak 106 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, terdapat 41 daripada 193 kluster aktif yang dipantau melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (98 kes), Kluster Jalan Rusa (57 kes), dan Kluster Bintang (50 kes),” katanya.

Dalam masa sama, jelasnya, sebanyak 236 kluster telah tamat termasuk enam kluster iaitu Kluster Benteng PK, Kluster Kapas BJ, Kluster Garden, Kluster Bah Tropicana, Kluster Bah Bercham dan Kluster Mentari.