Malaysia Dateline

Covid-19: Lagi 15 kes baharu di Semenanjung pulang dari Sabah

Kes baharu jangkitan Covid-19 di Semenanjung dalam kalangan individu yang pulang dari Sabah terus meningkat hari ini.

Sebanyak 15 kes direkodkan dengan paling banyak lapan kes di Selangor diikuti Pahang (3), Johor (2), Kuala Lumpur dan Melaka masing-masing satu kes.

Terdahulu, sebanyak 21 kes baharu positif Covid-19 yang pulang dari Sabah dikesan di Semenanjung antara 20 hingga 26 September.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memberitahu satu kluster baharu muncul di Kuala Lumpur.

Kluster Setapak melibatkan kes indeks ke-10,689 yang pulang dari Sabah iaitu “kawasan berisiko tinggi” pada masa ini.

Kes indeks itu mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna dari 17 hingga 20 September lalu.

“Kes mula mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak, sakit otot dan cirit-birit sejak 21 September sebelum dimasukkan ke pusat perubatan pada 25 September sebelum disahkan positif Covid-19.

“Dia dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor. Dua lagi kes positif yang dikesan adalah rakan serumah (iaitu kes ke-10,770) dan rakan (iaitu kes ke-10,771) kepada kes indeks. Mereka turut dimasukkan ke HSB,” katanya.

Katanya, susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sudah dijalankan.

“Sehingga kini, seramai 20 individu sudah disaring, tiga positif Covid-19, 16 negatif dan satu masih menunggu keputusan.

15 kes di Semenanjung yang berkaitan pulang dari Sabah hari ini antara 150 kes baharu meliputi 146 penularan tempatan dan empat kes import membabitkan tiga rakyat Malaysia serta seorang bukan warganegara.

Menurut Dr Noor Hisham, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di negara ini mencecah 10,919 kes dengan 950 kes aktif.

Jelasnya, kes kematian ke-134 membabitkan seorang perempuan warga Malaysia berumur 81 tahun, sekali gus menyaksikan jumlah kumulatif korban mencecah 1.23 peratus.

“Kes mula mengalami gejala demam serta batuk berkahak pada 14 September, dan dibawa ke Hospital Semporna, 17 September lalu.

“Saringan Covid-19 didapati positif pada 22 September dan kes dipindahkan ke Hospital Tawau, 26 September lalu.

“Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari sama. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 12.52 tengah malam tadi,” katanya.

Enam individu pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, 50 kes pulih dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 9,835 (90.1 peratus).